Sunday, 29 December 2013

Police Story 2013 Bawa Tema Kekeluargaan

Police Story 2013 Bawa Tema Kekeluargaan | BAGI peminat setia Jackie Chan, anda barangkali pasti tidak pernah ketinggalan menyaksikan siri francais Police Story yang pertama kali ditayangkan pada 1985 dan terakhir, New Police Story yang ditayangkan sembilan tahun lalu.


Mengakhiri kalendar 2013, Jackie kembali dengan francais Police Story yang keenam iaitu Police Story 2013 adalah arahan Ding Shen.

Sudah menemui penonton di Malaysia sejak 24 Disember lalu, siri terbaharu itu menelan kos sebanyak RM9.8 juta dan buat kali pertama lokasi penggambaran dilakukan di Beijing, China.

Menariknya kali ini, Police Story 2013 digarap dengan lebih emosi dan membawa penonton melayari kisah kekeluargaan yang bercelaru kerana kepentingan tugas.

Malah, Jackie sendiri mengakui filem kali ini adalah cerminan sebenar dirinya sebagai seorang bapa yang begitu memberi komitmen terhadap kerja sehingga membuatkan anaknya, Jaycee Chan pernah terasa terabai.

“Anak yang berfikir saya pergi berfoya-foya, sedangkan sebenarnya saya sedang bekerja keras menjalani penggambaran untuk mencari pendapatan dan menghantarnya belajar ke Amerika Syarikat,” ujar aktor berusia 59 tahun ini ketika mempromosikan filem tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jika sebelum ini Police Story berkisarkan mengenai polis di Hong Kong, filem kali ini akan membawa penonton mengikuti kisah pegawai Interpol China dikenali sebagai Detektif Zhong Wen.

Biarpun biasa berdepan dengan kes penculikan dan tebusan, insiden dia diperangkap bersama anak-anaknya bersama tebusan yang lain di sebuah bar mengubah segalanya.

Apatah lagi, Zhong berdepan dengan dugaan apabila dibenci anaknya yang menganggap dia lebih mementingkan kerjaya daripada keluarga sendiri.

Usaha Zhong dalam meyakinkan anaknya sambil berusaha menyelamatkan semua tebusan menjadi adegan yang cukup emosi apatah lagi dia cuba memenangi hati anaknya semula dalam tempoh yang cukup genting.


Aksi memukau

Bagaimanapun, bagi anda yang beranggapan filem ini sarat dengan aksi sama seperti filem-filem yang dijayakan Jackie sebelum ini, anda harus membuang jauh-jauh anggapan itu.

Seperti yang penulis katakan, filem ini sarat dengan garapan emosi antara bapa dan anak. Justeru, penonton hanya dapat melihat aksi pergaduhan dan seni mempertahankan diri pada babak-babak tertentu sahaja.

Namun, bukan bermakna ia aksi yang biasa sahaja, sebaliknya seperti biasa, Jackie akan memukau penonton dan peminatnya dengan aksi-aksi yang cukup lincah dan mantap, biarpun usianya kini hampir mencecah 60 tahun.

Tentunya anda pasti 'panas punggung' melihat Jackie berlawan dalam gelanggang bersama seorang ahli gusti dengan beberapa babak mengena teknik 'slow camera' membuatkan babak tersebut terlihat lebih realistik.

Menjayakan sendiri babak-babak aksi dalam filemnya kali ini, Jackie berkata tidak sukar menjayakan semua babak tersebut.

“Walaupun terdapat adegan pergaduhan, ia tidak berat dan tidak membabitkan aksi besar," katanya.


Plot perlahan

Sejujurnya pada pendapat penulis, satu-satu kelemahan dalam filem ini adalah perjalanan cerita yang agak perlahan selepas setengah jam pertama dengan lebih banyak dialog berbanding aksi.

Ia akan membuatkan anda berasa tidak sabar untuk melihat Jackie berlawan. Apatah lagi, Ding turut menyelitkan beberapa teknik imbas kembali yang diselitkan dalam beberapa babak dan amat penting untuk anda fokus pada jalan cerita bagi mengetahui apakah kaitan antara satu persatu kejadian.

Namun, plot yang perlahan itu diganti dengan sinematografi, kesan bunyi dan pencahayaan yang cukup baik.

Malah sebaik memasuki babak perlawanan, ia sekali gus menjadikan Police Story 2013 adalah sebuah filem yang berbaloi ditonton.


Jackie kecewa?

Sementara itu, Jackie dalam temu bualnya bersama media baru-baru ini meluahkan kekesalannya dengan tindakan pengarah dan penerbit zaman sekarang rata-rata menggunakan ‘sentuhan’ teknologi.

Ia sekali gus menyebabkan nilai dan keaslian sesebuah filem aksi itu semakin hilang sehingga menjadikan karya tersebut tidak realistik.

“Filem-filem aksi hari ini banyak yang menggunakan teknologi dan teknik pengimejan komputer (CGI). Bagi saya ia tidak bagus. Sekarang ini mudah saja nak buat aksi terbang sana terbang sini. Muncul dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan pantas. Realitinya bukan begitu. Saya tak suka.

“Tapi saya gembira kerana saya masih suka pendekatan cara lama (old school) dalam sesebuah filem aksi itu. Lebih realistik dan lebih memberi impak," katanya.
Jackie juga turut meluahkan hasrat mencuba genre filem berlainan namun masih belum mendapat peluang sehingga kini.

“Saya mahu menjayakan filem cinta atau drama penuh emosi tetapi tiada siapa ingin menawarkan peranan seperti itu kepada saya.” katanya.

Biarpun pernah terfikir untuk bersara dari menjayakan filem aksi sebelum ini, Jackie berkata cintanya terhadap filem aksi dan impiannya untuk menjadi legasi buat tatapan generasi akan datang, menyebabkan dia belum memikirkan untuk bersara.

“Saya pernah mengatakan CZ12 adalah filem aksi terbesar yang terakhir saya jayakan kerana saya merasakan mungkin saya akan menghabiskan masa di kerusi roda.
“Namun ia tidak berlaku. Terlalu sukar untuk saya tinggalkan apa yang saya cintai tetapi suatu hari nanti ia pasti akan berlaku”, ujarnya.

sumber berita harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...