Tuesday, 24 December 2013

Hati-Hati Semasa Keluarkan Duit Melalui ATM

Hati-Hati Semasa Keluarkan Duit Melalui ATM | Shah Alam: “Lelaki yang menetak saya bagaikan binatang kerana tergamak bertindak begitu sehingga hampir meragut nyawa saya walaupun wang yang disamun sudah diperoleh,” kata Ismail Zainal, 54, mangsa samun tiga lelaki berparang di tempat letak kereta berhadapan Bangunan UMNO, Seksyen 14, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 11.10 pagi itu, Ismail yang juga pegawai kewangan sebuah syarikat swasta baru mengeluarkan wang syarikat berjumlah RM3,500 daripada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank berhampiran tempat kejadian.

Gambar Hiasan

Menurutnya, selesai mengeluarkan wang, dia menuju ke tempat letak kereta tanpa mengesyaki ada yang memerhatikannya dan ketika kejadian, kawasan tempat letak kereta berkenaan lengang.



Beliau berkata, dia menuju ke keretanya kerana perlu menyerahkan wang berkenaan kepada kerani syarikatnya sebelum sebuah kereta Proton Saga BLM tiba-tiba berada di belakang, menghalang keretanya.

“Seorang lelaki berpakaian kemas keluar dari kereta berkenaan dan terus merampas sampul surat berisi wang RM3,500 yang dipegang saya. “Takut dicederakan, saya tidak melawan ketika suspek merampas sampul berkenaan. Walaupun sampul surat berisi wang sudah dirampas, tiba-tiba seorang rakan suspek keluar dari kereta dan terus menghayun parang mengenai bahagian kanan kepala saya sebelum melarikan diri,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur kerana sempat mengelak hayunan parang itu daripada mengenai tepat kepalanya.

Kejadian itu disedari seorang lelaki yang kebetulan berada tidak jauh dari tempat kejadian yang kemudian membawanya ke sebuah hospital swasta berhampiran dalam keadaan berlumuran darah. Mangsa sempat memaklumkan kepada isterinya, Noor Nita Ahmad, 50, mengenai kejadian sebelum anak lelaki sulungnya membuat laporan polis.

Pasukan perubatan mengambil masa dua jam untuk merawat kecederaan itu termasuk menjahitnya kerana tetakan berkenaan menyebabkan luka agak dalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Zahedi Ayob ketika dihubungi mengesahkan mengenai dan berkata satu pasukan khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Darah (IPD) Shah Alam kini sedang berusaha mengesan suspek.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian seperti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian sudah dijalankan dan rakaman percakapan beberapa individu yang melihat kejadian sudah diambil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK) kerana samun berkawan menggunakan senjata yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...