Sunday, 29 December 2013

Cinta ‘Kilat’ Artis Kita

Cinta ‘Kilat’ Artis Kita | Hanya dua hari lagi kita akan melangkah tahun baru 2014. Dengan industri filem yang suram, nyata cerita mengenai penggiat seni kita tidak pernah sepi dan sunyi dari cerita kontroversi dan sensasi.

Tentunya cerita yang hangat menjadi bualan sepanjang minggu lalu ialah cinta kilat pelakon Johan As’ari dengan Lana Nordin. Dulu apabila Johan mengumumkan mahu melamar Lana sebagai isteri selepas tiga hari berkenalan, ramai terkejut dan tidak percaya kerana latar kedua-dua bagai langit dengan bumi.
Kata orang, lelaki yang baik bertemu jodoh dengan wanita baik begitu juga sebaliknya. Tapi dalam soal jodoh, kita hanya mampu merancang, Allah menentukan kerana ia antara rahsia Yang Maha Berkuasa.

Di kalangan artis tanah air, mereka yang berpenampilan sopan dan bertudung, bertemu jodoh dengan lelaki yang baik. Namun ada juga hubungan cinta di kalangan artis mendapat halangan keluarga kerana latar berbeza.

Ada yang bersabar menanti restu dan akhirnya hidup bahagia bersama pasangan tetapi ada juga terpaksa menguburkan cinta mereka. Penyanyi Shila Amzah pernah melalui pengalaman cinta terhalang dengan Sharnaaz Ahmad yang dilabel budak kasar dan lantang bersuara hingga cinta mereka tidak direstui keluarga dan akhirnya putus di tengah jalan.

Pengalaman itu dikongsi Shila melalui lagu Masih Aku Cinta yang kini sedang meletop diputarkan di radio. Antara lain, Shila mengatakan ‘satu dunia menentang cinta kita, akhirnya kita terpisah jua’.

Ketika Shila bercinta dengan Shaarnaz, dia popular dengan lagu Patah Seribu dan turut dilamar berlakon sama dalam drama judul sama. Akhirnya memang retak seribu apabila perpisahan mereka diiringi luka dan kepedihan sampai berbalas-balas kenyataan media.

Ternyata cinta pertama Shila memberi seribu pengertian dalam hidupnya dan tentunya satu proses kematangan kepada dirinya. Shila bertuah kerana mempunyai keluarga yang berdiri kukuh di belakangnya untuk melindungi dirinya agar terus mengikut landasan yang betul.

Apabila hasilkan Masih Aku Cinta, Shila rapat pula dengan Johan As’ari apabila Johan menjayakan video klipnya. Hubungan rapat mereka seperti direstui keluarga, sangat berbeza ketika berkawan dengan Sharnaaz. Ibu Shila dan ibu Johan juga berkawan baik dan mungkin dalam hati kedua-dua wanita ini ada menyimpan harapan untuk berbesan.

Peminat juga suka melihat mereka yang disifatkan sama-sama daripada keluarga baik-baik dan sesuai sebagai pasangan. Bagaimanapun, tiba-tiba Johan mengumumkan memilih Lana Nordin sebagai calon isteri dan Shila cepat-cepat mengundur diri daripada terus berkawan dengan Johan.

Dia membuang gambar- gambar mereka berdua di laman Instagram serta menggugurkan nama Johan dalam senarai laman sosial Twitternya. Ada yang melihat tindakan Shila sebagai luahan rasa kecewa dirinya tetapi Shila sudah memberi penjelasan dirinya ‘keluar’ dari hidup Johan sebagai menghormati hubungan barunya dengan Lana.

Ternyata gadis yang baik seperti Shila masih belum bertemu jodoh sesuai dengannya. Apabila hubungan Shila dan Johan putus, penangannya juga cukup besar. Ada yang simpati, ada mencebik. Sekali lagi pasangan ND Lala dan Fauziah Sarman diuji tapi rasanya ketika ini, Shila dan keluarganya mampu tersenyum apabila satu Malaysia dikejutkan dengan berita Johan memutuskan cinta kilatnya dengan Lana.
Jika sebulan lalu Johan mengejutkan masyarakat dengan pengakuan mencintai Lana dan ingin melamarnya sebagai isteri walaupun baru tiga hari bertemu, minggu lalu Johan mengejutkan peminat apabila mengatakan hubungan mereka sudah berakhir kerana tiada restu keluarga.

Rasanya ada yang tidak kena dengan Johan yang mula dikenali sebagai Botak dalam siri Juvana. Saya juga tertarik dengan persoalan ditimbulkan seorang rakan mengenai apa lagi yang diinginkan Johan sebenarnya. Dulu dengan Izreen Azminda, kemudian dikaitkan dengan Fasha Sandha, Nabila Huda dan Shila.
Apa yang jelas di sini, hati Johan mudah cair dengan wanita yang rapat dengannya. Apakah sebab dia mengaku anak emak menyebabkan dia suka dimanjakan setiap masa tetapi waktu sama takut dengan komitmen?

Kasihan Lana, maruahnya seperti dipijak-pijak. Walaupun mungkin ada yang memandang sinis kepada imej Lana, hakikatnya dia juga punya maruah dan harga diri. Ketika dia ingin berubah ke arah kebaikan dengan membuang imej seksi, tentunya dia menyambut baik tangan dihulurkan lelaki yang dikenali dengan imej warak.

Dalam hati mungkin Lana melihat seperti Allah memberi tongkat kepada si buta yang sedang meraba-raba mencari jalan. Belum apa- apa, hati Johan berubah.

Semoga Lana tabah terima dugaan ini kerana setiap yang berlaku pasti ada sebab dan hikmahnya. Kalau bukan sebagai hukuman atas apa yang pernah kita lakukan dulu, ia sebagai pengajaran kepada kita untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.

Harap impian Lana untuk berubah tidak terputus di tengah jalan. Teruskan usaha yang murni ini kerana imej Lana kini sedikit demi sedikit sudah mula berubah kepada positif berbanding dulu, banyak yang negatif diperkatakan terhadap dirinya.

Percikan tempias negatif itu kini terpalit kepada Johan yang selama ini dilingkari imej bersih. Allah maha adil dan semoga kita belajar dari kesilapan dan selamat melangkah tahun baru dengan semangat dan kehidupan yang lebih baik.

sumber mymetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...